Wednesday, June 3, 2009

Keguguran...

Salam,

Aku copy paste je fakta nie.. untuk tujuan mehebahkan fakta penting... Untuk tahu lebih lanjut sila lawati blog www.drazwan.blogspot.com.

Ramai pembaca yang memberitahu perasaan sedihnya kerana baru sahaja keguguran cahaya mata. Ada yang baru kahwin dan keguguran, ada juga yang sudah lama inginkan anak tetapi akhirnya keguguran. Tentulah perasaan sedih yang teramat sangat kerana mengalami keadaan tersebut.

Izinkan saya berkongsi pendapat saya di dalam hal ini.

Memang benar bahawa masalah keguguran ini banyak faktornya.

Apabila seseorang ibu mengalami keguguran, ada yang menyalahkan makanan. "Ini tentu sebab makan ayam penyet atau empel sapi kat Restoran Wong Solo, Kg Baru lah ni", kata suami si Polan apabila diberitahu isterinya baru sahaja mengalami keguguran.

Dalam budaya melayu ada yang menyalahkan buah-buahan atau sayur-sayuran. Yang paling popular ialah nanas kerana sifatnya yang tajam. Sejauh mana kebanarannya saya tidak tahu kerana tiada kajian saintifik dijalankan yang terhadap nanas. Maknanya, kalau puan-puan nak elakkan maka elakkan lah.

Saya pernah mendapat panggilan yang menyatakan bahawa beliau mengandung (luar nikah) dan ingin menggugurkan anaknya. Telah banyak kali cuba termasuk memakan nanas tapi tak berjaya, oleh itu dia mahu mencuba ubat pula. Seperti yang saya biasa jawab, saya tak buat itu semua sebab saya orang Islam. Nenas pada saya, cara yang paling tidak berkesan untuk menggugurkan kandungan.

Secara amnya, ada banyak sebab terjadinya keguguran. Trauma seperti jatuh motor atau kemalangan boleh menyebabkan keguguran, penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit genetik atau autoimun, pintu rahim yang lemah, racun, ubat-ubatan, pembedahan ketika mengandung, demam tinggi akibat jangkitan kuman sehingga lah ke stress juga boleh menyebabkan keguguran.

Terdapat seorang sahabat saya yang bertugas sebagai doktor semasa houseman, beliau mengalami keguguran sebanyak 3 kali berturut-turut sepanjang bertugas. Akhirnya beliau terpaksa mengambil cuti ketika awal mengandung untuk mengurangkan stressnya. Alhamdulillah beliau selamat melahirkan zuriat.

Pada hakikatnya, menyalahkan sesuatu penyebab sebagai sebab utama keguguran adalah sukar kerana setiap individu manusia adalah unik penciptaannya.

Berbalik kepada masalah keguguran itu tadi. Allah menjadikan sesuatu perkara ada hikmahnya.

Allah menyebut di dalam firmanNya, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.", surah Al-Baqarah ayat 216.

Ayat ini membicarakan tentang Allah mengetahui tentang perkara yang tersirat dan tersurat. Di sebalik ujian yang diturunkan pasti ada hikmah disebaliknya. Yang penting kita berfikir tentang ujian ini dan bersabar.

Tahukah anda, bahawa 90% daripada fetus (anak) yang CACAT yang terbentuk di dalam rahim akan gugur? Ini termasuk penyakit genetik seperti Down's Syndrome. Maknanya, sekiranya fetus yang terbentuk itu tidak sempurna sifatnya, kurang genetiknya, cacat pembentukannya, maka kemungkinan tinggi ia tidak akan dilahirkan dan akan keluar sebagai keguguran.

Ini adalah hikmah yang besar tuan-puan. Cuba bayangkan kalau Allah membenarkan kesemua fetus yang cacat ini lahir ke dunia. Apakah yang akan berlaku? Sehinggakan yang sempurna pun Allah jadikan, ada yang dicampak di tong sampah menjadi makanan anjing, ulat dan semut.

Sudi saya mengingatkan di sini, sekiranya ada keguguran, maka ingatlah Allah selalu yang ini mungkin satu ujian daripada Allah dan pada masa yang sama ia adalah Rahmat Allah yang besar kepada manusia.

Allah tahu, sekiranya anak yang lahir itu tidak sempurna sifatnya, kita pasti akan tidak tertanggung ujian yang Allah beri. Oleh itu, di sebalik tangisan, kekecewaan dan kekesalan, adalah lebih baik berdoa agar diberikan Allah yang lebih baik dan sempurna.

Lagi satu, Apabila kita mengandung tetapi keguguran, ini menunjukkan bahawa puan-puan boleh mengandung dan tak mengalami primary infertility iaitu kemandulan. Ini terutamanya kepada mereka yang sudah kahwin bertahun-tahun tetapi belum mengandung. Maknanya, peluang puan-puan untuk menimbang cahaya mata masih ada. Ramai yang saya terjumpa sukar mengandung bertahun-tahun, tetapi selepas mengalami keguguran, beberapa bulan selepas itu, maka Allah mengurniakan sekali lagi peluang untuk menjadi ibu. Syukurlah...

Allah memberi ujian dan rahmatNya melalui banyak cara. Yang diuji dan teruji, pasti menerima ganjaran daripada Allah. Disebalik ujian pasti ada hikmah dari Nya.
Wallahu Alam.

 
 
 
 
 
 

Merancang Kehamilan....

Aku copy paste je fakta nie.. untuk berkongsi bersama dengan pembaca yang lain...


Apa pentingnya waktu subur wanita? Bagaimana mengira dan mengenal hari-harinya? Baca seterusnya tulisan Dr Azwan ini.

Oleh: Dr. Shahrizal Azwan Bin Samsudin, MBBS (IIUM). Blog beliau boleh diakses melalui alamat www.drazwan.blogspot.com

Mari kita semua baca dan fahami apa yang Dr ingin sampaikan dibawah :

Assalamualaikum Warahmatullah.

Ada yang meminta saya menulis artikel tentang waktu kesuburan wanita. Saya tahu ada yang dah sangat mahir.. kalau tak mahir takkan ada 6 orang askar kat rumah kan... hehe. Tapi yang baru-baru nak mencuba tuh tentu ada yang malu nak bertanya. Baik juga kalau tahu, InsyaAllah boleh kongsi dengan suami atau adik beradik atau anak-anak dara kat rumah.

Kitaran haid wanita adalah tajuk sangat penting masa student dulu dan selalu masuk soalan esei. Kalau ada pertanyaan, saya cuba jawab. Kalau tak dapat, maafkan saya, anda boleh tujukan soalan kepada pakar sakit puan.
KENAPA ANDA PERLU TAHU WAKTU SUBUR WANITA?

Ada 2 sebab utama :-
1. Untuk memudahkan mendapat zuriat
2. Untuk mengelakkan daripada mendapat zuriat.
Kedua-duanya adalah sama penting. Ilmu ini mungkin boleh anda sebarkan dan digunakan secara praktikal.
FAHAMI KITARAN HAID

Saya cuba permudahkan sebab kitaran haid ni agak kompleks dan payah sikit nak paham. Tetapi cuba fahami. Kitaran haid wanita berlaku setiap bulan secara puratanya ialah 28-30 hari. Tapi wanita masing2 ada kitarannya sendiri ada 25 hari ada yang lambat sampai 35 hari. Tetapi secara puratanya ialah 28-30 hari.

Terdapat beberapa fasa di dalam kitaran haid. Anda perlu memahami fasa ini.
Hari 1-4

Ini dipanggil fasa pengeluaran haid (menstruation) - ketika ini darah haid keluar. Hari pertama period adalah penting untuk diketahui kerana ia adalah di mana fasa ini bermula. Pada hari pertama haid datang, ia perlu ditanda di kalendar dan tamat selepas berapa hari. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari di dalam sebulan.
Hari 5-13

Ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam bekasnya akan menjadi semakin matang.
Hari 14

Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalu saluran falopio ke rahim.
Hari 15-28

Ini dipanggil fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari sarangnya, sejenis hormone dipanggil progestrone di rembes daripada sarangnya (corpus luteum). Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestrone semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh sebagaimana runtuhnya tembok Berlin. Proses akan mengalami kitaran semula pada hari 1.
BILAKAH WAKTU SUBUR?

Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami-isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.

Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama period seterusnya atau ketika fasa luteal bermula.
** (14 days from the 1st day of your NEXT period - NOT your previous period)

Tak faham? Macam ni. Katalah dia period 28 hari, maka hari subur ialah 28 hari - 14 hari = 14 hari. Jadi, hari ke 14 itu adalah hari subur. Katalah period bulan itu 30 hari, maka 30 hari - 14 hari = hari ke 16 ialah hari subur bukan lagi hari ke 14. Sekiranya periodnya 35 hari maka 35-14 = hari ke 21 adalah waktu suburnya.

Ini adalah kerana fasa luteal pada kiraannya adalah biasanya tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah2. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama period yang seterusnya. Sekiranya period anda adalah tetap 28 hari, tak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya period anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.
CARA LAIN MENGETAHUI WAKTU SUBUR

Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit dalam satu darjah celcius. Juga terdapat lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika itu. Di Amerika terdapat kit untuk mengetahui kesuburan wanita melalui air kencing wanita tapi saya tak pernah jumpa lagi di klinik2 di K.Lumpur.

Baca muka seterusnya untuk menganggar waktu terbaik mendapat zuriat dan mengelakkan hamil.


MENGANGGAR WAKTU TERBAIK UNTUK MENDAPAT ZURIAT

Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka tingkap untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu Allah mencipta sperma dengan kelebihan yang lain pula.

Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan (setiap seorang lelaki adalah jutawan!), ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Oleh itu, untuk mendapatkan zuriat, pasangan boleh bersama setiap malam (atau siang hari kecuali pada bulan Ramadhan) pada hari ke 11, 12, 13, 14, 15, 16 period untuk mendapatkan waktu optimum hari kesuburan sekiranya period anda datang 28 hari. Itu adalah menganggarkan waktu subur adalah pada hari ke 14.

Anda boleh cuba setiap bulan untuk beberapa bulan sekiranya tidak berhasil. Ini adalah untuk memastikan waktu subur adalah sesuai dengan waktu bersama anda.
MENGELAKKAN MENGANDUNG MELALUI CARA KIRAAN

Selain daripada untuk mendapatkan zuriat, ada pasangan yang ingin mengelakkan mengandung dengan cara mengira kalendar.
Untuk pengetahuan anda, cara mengira melalui kalendar adalah berisiko dan tidak beberapa tepat. Ini adalah kerana anda mungkin boleh tersilap kira, atau kedatangan haid yang tidak beberapa teratur menyebabkan tarikh subur lari dari kebiasaan.

Oleh kerana anda tahu sperma boleh bertahan selama 5 hari di dalam rahim (ada kajian menunjukkan 7 hari !), jadi 5 hari sebelum dan selepas hari kesuburan adalah waktu yang dianggarkan tidak boleh bersama isteri ataupun terpaksa menggunakan cara kontraseptif yang lain.

Ada juga yang meletakkan 3 hari sebelum dan selepas waktu subur. Ini lebih rapat dan lebih berisiko. Terpulang kepada anda sendiri. Seperti yang saya khabarkan tadi, cara ini tidak beberapa tepat dan mempunyai risiko yang tersendiri.


Saya harap info ini boleh membantu pasangan suami isteri menganggar waktu yang terbaik untuk bersama dan waktu terbaik untuk mengelak daripada bersama.


Selamat Mencuba!